Bila disebut perkataan ‘Melayu’, terus tergambar dalam benak
fikiran bahawa orang Melayu berkulit gelap/sawo matang, tubuh badan bersaiz
sederhana dan berambut hitam. Gambaran yang hampir sama juga pernah diceritakan
oleh Frank Swettenham dalam makalahnya “The Real Malay”
yang menggambarkan lelaki Melayu adalah rendah, berambut hitam lurus, berkulit
coklat gelap serta mempunyai bentuk hidung dan bibir yang besar.
Ehsan dari "A Malay Boy -
Project Gutenberg. Wikipedia".
Perkahwinan
campur antara bangsa bukan Melayu dan Melayu dewasa ini sedikit sebanyak
merubah identiti dan perwatakan unik orang Melayu jika dibandingkan dengan
orang Melayu pada zaman dahulu. Bangsa Melayu dilihat banyak mendiami sekitar
Asia Tenggara dan mengamalkan adat resam,
budaya dan bahasa yang sama.
Asal-usul bangsa Melayu masih lagi dibincangkan dan dari
mana datangnya perkataan Melayu juga masih belum dapat disahkan oleh sejarawan
secara tepat.
Sumber yang diambil dari Wikipedia pula memetik perkataan Melayu berasal daripada nama sebuah anak sungai
yang bernama Sungai Melayu yang terletak di hulu Sungai Batang Hari di
Sumatera, Indonesia. Pendapat lain pula mengatakan perkataan Melayu berasal
dari perkataan Jawa Kuno iaitu “berlari” atau “mengembara”. Ini dikaitkan
dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan ke Asia
Tenggara.
Bahasa menunjukkan bangsa.
Sejarah lama banyak membuktikan peristiwa yang mempunyai
hubung-kait asal-usul bahasa Melayu. Di dalam artikel Resam
Melayu sebelum ini – Bahasa dan Tamadun Melayu,
mengikut catatan seorang rahib Budha bernama I-Tsing, Kerajaan Sriwijaya di
Palembang menggunakan bahasa Melayu kuno sebagai bahasa pengantar pembelajaran
mereka.
Istilah Melayu atau “Mo-lo-yu” juga pernah dicatat
dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada sekitar tahun 644-645 Masihi
semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji bersependapat bahawa perkataan “Mo-lo-yo”
yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera,
serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Palembang.
Dari segi linguistik, Melayu dikategorikan sebagai penutur
bahasa Melayu di dalam kumpulan Melayu-Polynesia (Indonesia, Malaysia, Brunei,
Filipina, Taiwan dan Vietnam).
Kumpulan bahasa Austronesia mempunyai pertalian bahasa
dengan bahasa Melayu-Polynesia, dari segi kosa kata dan perkataan yang
digunakan.
Asal-usul bangsa Melayu dipercayai berasal daripada golongan
Austronesia di Yunan. Di dalam buku sejarah Melayu, Melayu Proto
(kumpulan pertama) berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500
Sebelum Masihi). Dipercayai keturunannya adalah Orang Asli di Malaysia dan
Batak di Sumatera.
Kumpulan kedua pula berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman
Logam (1500 Sebelum Masihi). Kumpulan ini dinamakan Melayu Deutro.
Keturunannya ialah orang Melayu di Malaysia.
Melayu Deutro dikatakan lebih bijak dan mahir daripada
Melayu Proto. Mereka bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk
tanam.
Kesimpulannya, datuk nenek dan moyang bangsa Melayu boleh
dikatakan berasal dari Yunan, China. Penghijrahan mereka ke Asia Tenggara
memungkinkan mereka bermastautin dan menetap serta berkahwin campur dengan
pelbagai bangsa seperti pedagang Arab dan India pada zaman Kerajaan Melayu
Melaka. Secara amnya, bangsa Melayu adalah satu bangsa yang mengamalkan adat resam
Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu serta hidup dalam budaya Melayu.
Sumber dari:
Aktiviti 1 : Baca maklumat yang diberi.
Aktiviti 2 : Catatkan Kata Nama Khas yang terdapat dalam petikan di atas.
Aktiviti 3 : Senaraikan kata berimbuhan meN yang terdapat dalam petikan.
Aktiviti 4 : Pilih 5 daripada kata berimbuhan tersebut dan bina ayat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan